header-photo

Jalan Aman...

Jalan Aman ini terletak dalam "Kawasan Melayu" di "PJ Old Town".

Setahu saya inilah rumah pertama kami setelah "bapak" hijrah dari Singapura.

Tiada banyak yang saya ingat kerana waktu itu saya sekitar 2-3 tahun.

Namun saya ingat waktu saya tergolek jatuh ke dalam longkang semasa duduk atas pembahagi jalan depan rumah (3 jahitan di kepala).

Saya juga ingat waktu saya benar-benar gembira semasa menikam-nikam buah tembikai yang ditanam mak dengan sebatang kayu kecil...

Al-Sagoff...

Deretan rumah setingkat berhadapan jalan yang memisahkan antara yang "moden" dan "lama".

Kami sering melintas setiap pagi menikmati nasi (lupa namanya) yang dibungkus dengan daun ketapang. Makcik yang menjual amat selesa duduk atas pangkin dan dikelilingi periuk-periuk lauk.

Namun, apa yang paling saya ingati adalah loteng dan jamban tongnya...

Kg. Belimbing...

Ini sebenarnya kampung kami. Tanah sawah "bapak" dan adik-beradiknya sekitar dua ekar masih di sini.

Namun, kami jarang "pulang". Orang-orang "lama" kini sudah tiada. Dan yang ada pun saudara terdekat (di sini hampir semua penduduk ada pertalian darah).

Terkenang waktu Firdaus "meraung" tengah malam setelah sebelah petangnya dia berlari-lari menikmati suasana dan kelapangan tanah sawah.

Terkenang juga arwah datuk...

Tan Yew Lai

Kami tinggal di sini sekitar lewat 60'an.

Pelbagai peristiwa berlaku di sini - termasuk rusuhan kaum 1969.

Namun, apa yang saya simpan adalah kenangan-kenangan seperti menerokai bukit-bukit (ingat bendera Di Atas Bukit?), kebun manggis dan laksa Pak Man (mungkin arwah).

Pak Man jual laksanya dengan berbasikal roda tiga. Waktu itu laksa sepinggan dua puluh sen. Dan menjadi "ritual" setiap petang saya dan rakan akan berbasikal ke bawah dan menikmati laksa Pak Man.

Kali terakhir saya menikmati laksa Pak Man adalah sekitar awal 90'an. Selepas itu laksa Pak Man "hilang" begitu saja.

Aneh, rasa laksa dan cucur udang Pak Man masih saya rasai hingga kini...

Kota Damansara...

Awal tahun 2000 kawasan ini hanya dipenuhi tumbuhan - kebun dan hutan kecil. Namun kini, ia telah menjadi sebuah kota - Kota Damansara. Saya tidak pasti, tetapi saya berfikiran inilah salah sebuah kawasan yang paling cepat membangun dalam Malaysia.

Awal 2004 saya pindah ke sebuah rumah pangsa di sini. Waktu itu rasanya amat tenang. Tiada kesesakan dan kelihatan seperti sebuah kawasan "laid back". Namun segalanya kini berubah.

Terkadang terdetik dalam jiwa mengimpikan suasana yang lalu...

Waktu benar semakin pantas berlalu bukan?

Hijrah...

Sudah agak lama saya memikirkan tentangnya - sepanjang entri terakhir seingat saya.

Dalam usia sebegini saya "berat" untuk melakukannya, tetapi "hijrah" itu tidak mengenal usia - saya sedar.

Maka kini, bermulalah satu perjalanan yang "baru" buat saya...semoga sentiasa terpelihara.

Bengkak...lebam...terseliuh?

Dulu zaman saya sekolah menengah, saya pernah bergaduh. Saya seorang. Mereka tiga orang. Lebam dan bengkak muka. Terseliuh leher tak ada pun.

Ingat...tiga orang. Bukan sembilan atau 10 tau. Bengkak...lebam muka!

Tak tahulah kalau sembilan atau sepuluh orang yang pukul. Gamaknya masuk hospital pecah muka...

*Cuma dalam filem hindustan saja hero tak bengkak atau lebam muka kalau bergaduh dengan sembilan atau sepuluh orang.

Salam Aidilfitri

Kepada semua, saya memohon kemaafan atas segala keterlanjuran.

Aksi Ali...

Akhir ini waktu tidurnya "lari" dari kebiasaan.
Gambar-gambar ini diambil sekitar jam 3 pagi
Masih aktif dan bertenaga...
Dia seakan tidak mahu hari itu berakhir...
Syukur saya dikurniakan anak yang sebegini aktif.

Nafsu...

Percayalah, saya cuba sedaya mampu mengekang nafsu setiap kali ke Pasar Ramadhan. Pengalaman mengajar: Hampir 50% juadah yang dibeli mengikut nafsu akan terbuang. Jika diisipun, akan terbongkah kekenyangan dan jadi seakan seperti ular sawa yang membaham lembu.

Kini, saya hadkan satu jenis juadah saja buat diri sendiri dan aneh, selepas berbuka, ia mencukupi dan memuaskan. Saya kira apa yang sedikit itu lebih dihargai dan dinikmati dari apa yang banyak...

House...

Saya diberitahu...

Semasa sekumpulan doktor pelatih diberi taklimat oleh Ketua Jabatan (sebuah hospital kerajaan baru di Selangor), dia telah bercakap tentang rasuah. Bagaimana dia benci dan tidak akan tolak ansur. Saya sokong dan terharu.

Sebaik itu, dia menoleh ke seorang pelatih dan berkata dia tahu siapa ayah pelatih itu. Dia tahu ayah pelatih itu seorang ahli politik yang korup. Dan dia bertanya mengapakah si pelatih hendak jadi doktor sedangkan keluarganya "kaya raya" (hasil korup). Dia juga cabar agar pelatih itu beritahu ayahnya tentang apa yang dikatanya. Ini semua dilakukan depan pelatih-pelatih semua.

Saya cuma tidak faham mengapakah manusia begitu kejam sekali? Mengapa perlu aibkan doktor pelatih itu depan rakan yang lain? Saya tidak tahu bagaimana Ketua Jabatan ini (seorang Doktor Wanita) boleh bertindak demikian. Mana sifat professional? Mana keimanan puasanya? Mana logiknya?

Saya kesiankan adik saudara saya itu (juga seorang doktor pelatih wanita), tetapi inilah harga yang terkadang kita terpaksa bayar jika mempunyai pertalian dengan orang yang dikenali. Namanya manusia. Dan manusia itu tidak sempurna. Sering lalai dan terikut alunan nafsu amarahnya. Redha dan tabah ya dik...

Sebat...

Dulu zaman 70'an "sebat" itu satu kebiasaan bagi saya. Mak sebat saya. Ustaz mengaji sebat saya. Cikgu di sekolah pun sebat saya. Sememangnya 99% saya bersalah dan saya terima. Tidak ramai yang simpati. Tidak pula "kecoh" walaupun ada satu atau dua kes sememangnya saya tidak bersalah.

Kini, tidak kurang juga yang "menyebat". Cumanya "sebat" itu sudah bertukar bentuk. Lihat saja sekeliling dan pasti terlihat. Orang "sebat" tambang, "sebat" projek, "sebat" duit rakyat, "sebat" kuasa, "sebat" antara satu sama lain, "sebat" isteri/laki orang...

Jadi apa yang kecoh sangat tentang "sebat"?